Berita
Wakil CeDS UTHM Teroka Industri Digital dan Peluang Kerjasama di Batam

BATAM: Empat wakil Pusat Pengajian Diploma (CeDS), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) menyertai sesi perkongsian Nongsa Digital Park (NDP) dan lawatan ke Infinite Studios Batam, Indonesia pada 22 September 2026.
Delegasi terdiri daripada Muhammad Amirul bin Razali, Mohammad Haikal Danial bin Mohammad Jota, Ts Muhammad Fazrulhelmi bin Ahmad dan Mohamad Fazirul Rafiq bin Afandi.
Kunjungan tertumpu pada kemudahan Infinite Studios, dengan Rara Muthia Andini berkongsi mengenai ekosistem NDP yang merangkumi industri digital, pusat data, pembangunan bakat dan pelancongan.
Terletak dalam Kawasan Ekonomi Khusus Nongsa, NDP menghubungkan industri digital Indonesia dengan Singapura. Perkongsian turut meliputi pembangunan pusat data bagi pengkomputeran awan dan kecerdasan buatan (AI), serta kabel dasar laut Nongsa–Changi yang memperkukuh hubungan digital Batam–Singapura.
Merry membawa lawatan ke ruang kerja, kemudahan produksi dan set penggambaran studio. Infinite Studios terlibat dalam produksi antarabangsa seperti Cocomelon Lane, Unicorn Academy, Peter Rabbit dan Octonauts, memperlihatkan keupayaan tenaga kreatifnya serta kerjasama dengan pemilik harta intelek (IP) luar negara.
Studio turut mengetengahkan IP asal Komarong: Candi-Candi Nusantara. Berinspirasikan mitologi Bali, siri ini mengisahkan Komang, gadis berjiwa kental, bersama Barong, makhluk pelindung purba, menghadapi kuasa kegelapan sambil mengangkat warisan budaya Nusantara.
Delegasi juga meninjau set musim pertama Losmen Melati the Series. Binaan penggambaran yang dikekalkan di sekitar studio memberikan suasana unik serta menyokong keperluan produksi animasi dan aksi langsung.
Menurut pihak studio, amalan bekerja dari rumah sejak pandemik COVID-19 diteruskan melalui akses jarak jauh kepada komputer studio, dengan sokongan kakitangan di lokasi bagi memastikan kelancaran produksi.
Delegasi turut bertemu Phil Mitchell, pengasas bersama Mainframe Entertainment dan antara pencipta ReBoot, yang kini mengendalikan pengurusan produksi animasi serta latihan di Infinite Studios.
Kunjungan ini memberikan pendedahan tentang pembangunan IP, infrastruktur digital dan pengurusan produksi sebagai rujukan untuk memperkukuh pengajaran serta persediaan pelajar menghadapi industri.
Perbincangan turut membuka ruang ke arah penyediaan Surat Hasrat (Letter of Intent, LoI) bersama NDP dan Infinite Studios. Skop serta manfaat kerjasama masih perlu diperincikan sebelum persetujuan dimuktamadkan, dengan tumpuan kepada perkongsian kepakaran, pendedahan industri dan pembangunan bakat animasi.
Popular
-
UTHM dan Cosmo Skills Lahirkan Pelajar Diploma Kompeten Dalam Keselam… -
PAK Perdana CeDS 2025 Erat Hubungan Antara PAK dan Pelajar -
Lawatan Sambil Belajar Pelajar Diploma Teknologi Animasi di Warnakala… -
Tahap Pengetahuan Terhadap Kecerdasan Buatan Generatif dalam Kalangan… -
OBE Implementation Workshop Strengthens Academic Delivery at CeDS -
Bridging Classroom and Studio: A Deep Dive into Cyberjaya’s Animation… -
UTHM Memeterai MoU Bersama Cosmo Skills Sdn Bhd Untuk Memperkasa TVET… -
Dua Produk Inovasi CeDS Terpilih di Sesi Penilaian Produk Penyelidika… -
Staf Akademik UTHM Perkasa Industri Tempe Batu Pahat Melalui Lawatan… -
Lawatan Akademik Pelajar Diploma Kejuruteraan Elektrik ke Program Dis…
