Berita
Lawatan Penanda Aras ke Politeknik Batam

BATAM, INDONESIA: Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) menerusi Program Diploma Teknologi Animasi, Jabatan Teknologi Maklumat, Pusat Pengajian Diploma (CeDS) telah mengadakan lawatan penanda aras akademik ke Politeknik Negeri Batam, Indonesia sebagai salah satu inisiatif memperkukuh pembangunan akademik, pemantapan kurikulum serta jaringan kerjasama antarabangsa dalam bidang pendidikan teknologi animasi.
Lawatan ini bertujuan mendapatkan perkongsian pengetahuan, pengalaman dan amalan terbaik dalam pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran (PdP), khususnya yang melibatkan pendekatan Project-Based Learning (PBL), pembangunan kurikulum, pengurusan akademik serta hubungan strategik antara institusi pendidikan tinggi dengan pihak industri.
Delegasi UTHM terdiri daripada empat orang pensyarah Program Diploma Teknologi Animasi iaitu Mohamad Fazirul Rafiq bin Afandi, Ts. Muhammad Fazrulhelmi bin Ahmad, Mohammad Haikal Danial bin Mohammad Jota dan Ts. Muhammad Amirul bin Razali.
Sepanjang lawatan tersebut, sesi perbincangan akademik telah diadakan bersama wakil Politeknik Negeri Batam dengan memberi tumpuan kepada perkongsian pendekatan PBL yang mengintegrasikan pengetahuan teori dan kemahiran praktikal melalui pelaksanaan projek berasaskan situasi sebenar industri.
Perbincangan turut merangkumi aspek pembangunan dan penambahbaikan kurikulum agar kandungan program pengajian sentiasa relevan dengan perkembangan teknologi, keperluan industri kreatif digital serta kehendak pasaran pekerjaan semasa.
Selain itu, kedua-dua institusi turut berkongsi pandangan berkaitan strategi memperkukuh hubungan antara akademia dengan industri, termasuk potensi kolaborasi dalam pelaksanaan projek pelajar, perkongsian kepakaran, pembangunan kompetensi serta aktiviti akademik yang dapat memberi manfaat kepada pensyarah dan pelajar.
Antara pengisian penting lawatan ini ialah sesi menandatangani Letter of Intent (LoI) sebagai langkah awal ke arah memperkukuh hubungan dan meneroka peluang kerjasama strategik antara UTHM dengan Politeknik Negeri Batam.
Inisiatif tersebut diharap dapat membuka ruang kepada pelaksanaan pelbagai aktiviti kolaboratif pada masa hadapan, termasuk pertukaran pengetahuan, perkongsian amalan terbaik, pembangunan kurikulum, penyelidikan dan inovasi serta kerjasama dalam bidang teknologi animasi dan industri kreatif digital.
Lawatan penanda aras ini juga merupakan sebahagian daripada komitmen berterusan UTHM dalam meningkatkan kualiti pendidikan berteraskan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), selaras dengan usaha melahirkan graduan yang kompeten, kreatif, berdaya saing dan memenuhi keperluan industri.
Melalui perkongsian serta jaringan kerjasama antarabangsa ini, Program Diploma Teknologi Animasi UTHM diharap dapat terus diperkasakan dari aspek pembangunan akademik, inovasi pengajaran dan pembelajaran serta kebolehpasaran graduan, sekali gus menyumbang kepada kecemerlangan pendidikan TVET di peringkat serantau.
Popular
-
UTHM dan Cosmo Skills Lahirkan Pelajar Diploma Kompeten Dalam Keselam… -
PAK Perdana CeDS 2025 Erat Hubungan Antara PAK dan Pelajar -
Lawatan Sambil Belajar Pelajar Diploma Teknologi Animasi di Warnakala… -
Tahap Pengetahuan Terhadap Kecerdasan Buatan Generatif dalam Kalangan… -
OBE Implementation Workshop Strengthens Academic Delivery at CeDS -
Bridging Classroom and Studio: A Deep Dive into Cyberjaya’s Animation… -
UTHM Memeterai MoU Bersama Cosmo Skills Sdn Bhd Untuk Memperkasa TVET… -
Dua Produk Inovasi CeDS Terpilih di Sesi Penilaian Produk Penyelidika… -
Staf Akademik UTHM Perkasa Industri Tempe Batu Pahat Melalui Lawatan… -
Lawatan Akademik Pelajar Diploma Kejuruteraan Elektrik ke Program Dis…
