Skip to main content

Berita

Program Promosi Diploma Mendapat Respons Positif Dari Bakal Lepasan SPM

Oleh Ts Azli bin Yusop
23 Februari 2022, 9:44 am
Program Promosi Diploma Mendapat Respons Positif Dari Bakal Lepasan SPM

AYER HITAM: Pada 20 Februari 2022, Jabatan Kejuruteraan Elektrik, Pusat Pengajian Diploma (CeDS), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) telah menganjurkan Promosi Program Diploma UTHM untuk SMK Datuk Menteri, Ayer Hitam yang merupakan sekolah angkat universiti.

Program ini dikhaskan untuk pelajar tingkatan lima yang sedang menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan dilaksanakan secara dalam talian bermula jam 11:00 pagi hingga 12:30 tengah hari.

Seramai 70 orang pelajar dan empat orang guru mengikuti sepenuhnya program promosi ini yang disampaikan oleh Ts Mohd Muzaffar bin Zahar yang merupakan pensyarah Jabatan Kejuruteraan Elektrik.

Objektif program ini adalah untuk mempromosikan program-program pengajian diploma yang ditawarkan oleh UTHM disamping memberi galakan, nasihat, rangsangan dan selingan motivasi kepada para calon SPM.

Selain itu ianya juga bertujuan untuk meningkatkan jalinan kerjasama yang strategik antara CeDS dan institusi pendidikan menengah.

Guru Penolong Kanan SMK Datuk Menteri, Encik Samsuddin bin Ihsan turut menzahirkan rasa syukur dan terima kasih kepada CeDS atas penganjuran program ini dalam usaha untuk memberi pendedahan dan panduan kepada pelajar terhadap peluang dan laluan pengajian serta kerjaya masa hadapan.

Program yang berlangsung selama satu jam setengah ini mendapat galakan dan respons positif dari pelajar.