Skip to main content

Berita

Lawatan ke Industri Beri Pendedahan Kepada Teknologi Terkini Rawatan Air Sisa

Oleh Puan Shazana binti Hashim
25 Mei 2022, 5:27 pm
Lawatan ke Industri Beri Pendedahan Kepada Teknologi Terkini Rawatan Air Sisa

AYER KEROH: Pelajar Diploma Teknologi Kejuruteraan Kimia, Pusat Pengajian Diploma (CeDS), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) telah mengadakan sebuah lawatan industri ke Indah Water Konsortium (IWK).

Lawatan ini telah disertai oleh seramai 23 orang pelajar Seksyen 1 program Diploma Teknologi Kejuruteraan Kimia dan dua pensyarah pengiring, iaitu Dr Siti Samahani binti Suradi dan Dr Mohd Khairul Nizam bin Mohd Zuhan.

Tujuan lawatan adalah untuk memberikan pendedahan kepada kaedah asas dan sistem rawatan air sisa kumbahan yang dilaksanakan oleh pihak industri yang diwakili oleh pengurus dari Konsortium Indah Water (M) Sdn Bhd, iaitu Puan Noor Hidayah binti Sabdin.

Program lawatan sambil belajar seharian, anjuran Jabatan Sains dan Matematik, CeDS ini banyak memberikan pendedahan kepada para pelajar mengenai peluang kerjaya yang bersesuaian dengan subjek-subjek yang dipelajari seterusnya menggalakkan pelajar lebih berinspirasi sekali gus menambahkan minat dalam bidang berkaitan.

Pembelajaran ini bukan sahaja tertumpu pada pemahaman secara teori, malahan kemahiran praktikal juga amat signifikan bagi membantu pelajar berfikiran lebih luas dan peningkatan pendedahan yang tidak terbatas terhadap pemahaman satu teori dan fakta semata-mata.

Keseluruhannya, lawatan yang berlangsung ini mendapat respons positif dari para pelajar.

Pengisian yang padat dengan ilmu pengetahuan berkaitan setiap unit proses dan teknologi moden dalam rawatan air sisa kumbahan di industri dapat dipelajari dan dipraktikkan kelak apabila melangkah ke alam pekerjaan.


Lawatan Industri ke Indah Water Konsortium (IWK)