Skip to main content

Berita

A-Fest Memartabat Teknologi Animasi Dalam Kalangan Pelajar Sekolah

Oleh Encik Mohd Firdaus bin Mohd Herrow
06 Disember 2022, 9:16 am
A-Fest Memartabat Teknologi Animasi Dalam Kalangan Pelajar Sekolah

PAGOH: Jabatan Teknologi Maklumat, Pusat Pengajian Diploma (CeDS), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), pada 5 Disember 2022 telah mengadakan sebuah program Animation Festival: A-Fest bertujuan untuk mempromosi, khidmat masyarakat dan program Service Learning Malaysia-University for Society (SULAM) bagi mendedahkan selain berkongsi ilmu pengetahuan dalam bidang animasi kepada pelajar sekolah menengah.

Peserta terdiri daripada 90 orang pelajar sekolah dan tujuh orang guru pengiring daripada tiga buah sekolah iaitu SMK Sultan Alauddin Riayat Shah (1), SMKA Maahad Muar dan SMK Felcra Bukit Kepong.

Para peserta diberikan pendedahan secara menyeluruh mengenai hala tuju mereka selepas Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dalam usaha menangkis pandangan bobrok mengenai ketidakpentingan pendidikan tinggi menerusi ceramah yang disampaikan oleh Jawatankuasa Promosi, Laman Web dan Media Sosial serta kumpulan fokus ICT for Technology Humanisation.

Sementelahan itu, Encik Ahmad Razuri bin Roseli daripada Les’ Copaque Sdn Bhd berkongsi mengenai pengalaman dan peluang kerjaya di dalam bidang animasi.

Perkongsian ilmu secara demonstrasi oleh pelajar Diploma Teknologi Animasi (DAG) juga dilakukan bagi memberikan para peserta kesedaran dan pandangan mengenai bidang animasi.

Usaha ini dilakukan bagi membentuk dan memupuk minat para peserta dalam bidang animasi.

Selain itu, ia juga membantu para peserta memahami syarat-syarat kelayakan untuk memasuki program tersebut dengan lebih berkesan dan tepat.

Melalui sesi ini, para peserta didedahkan dengan pendedahan mengenai perkakasan dan perisian yang digunakan dalam pembelajaran dan pengajaran di dalam Diploma Teknologi Animasi seperti keperluan alatan seperti komputer riba, pad melukis dan pendedahan aplikasi seperti Adobe Creative Suite, Blender dan MAYA.

Tambahan lagi, para urusetia dari DAG membantu para peserta dengan berkongsi ilmu pengetahuan dan demonstrasi cara menghasilkan karya animasi yang kreatif dan interaktif yang seiring dengan keperluan peserta sebagai pelajar sekolah untuk mengetahui cara hasil pembuatan animasi dan memupuk minat kepada penghasilan karya yang bersifat kreatif, moden, terkini, serta mempunyai cita rasa baru.

Selain daripada itu, para peserta juga mengikut pertandingan reka bentuk karakter bagi memberi pengalaman dan pendedahan cara hasil pembuatan karakter.

Ia dapat membantu para peserta untuk memahami lebih mendalam mengenai bidang seni visual khususnya di dalam bidang animasi agar ia menjadi satu bidang pilihan mereka untuk melanjutkan pengajian ke peringkat diploma di UTHM.

Program ini telah berlangsung selama sehari secara bersemuka di ruang legar penerbit UTHM, Dewan Kuliah 2 dan Bilik Kuliah Pembelajaran Berasaskan Masalah 5 bertempat di UTHM Pagoh.

Aktiviti yang melibatkan para peserta dalam kalangan para pelajar sekolah menengah telah mendapat perhatian dan mampu memupuk minat mereka terhadap bidang animasi.

Selain itu, pertandingan reka bentuk karakter juga di jalankan di antara para peserta bagi memberi pendedahan dan memupuk minat mengenai bidang animasi.

Kemahiran ini merupakan satu elemen yang menyumbang kepada kejayaan seseorang pelajar di dalam menghasilkan karya yang bersifat kreatif dan interaktif secara efektif.


Animation Festival (A-Fest)