Skip to main content

Berita

Seramai 658 Pelajar Diploma Diisytihar Graduan Dalam Bidang Masing-masing

Oleh Encik Fawwaz bin Mohd Nasir
09 Disember 2022, 11:55 pm
Seramai 658 Pelajar Diploma Diisytihar Graduan Dalam Bidang Masing-masing

BATU PAHAT: Seramai 658 pelajar Pusat Pengajian Diploma (CeDS), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) telah diisytihar graduan dalam sebuah majlis gilang-gemilang penuh adat dan tertib sempena Istiadat Konvokesyen Ke-22 UTHM.

Istiadat Konvokesyen kali ini turut disulami dengan keunikannya yang tersendiri jika dibandingkan dengan istiadat-istiadat terdahulu kerana ia disertakan dengan pemasyhuran Canselor baharu iaitu Duli Yang Amat Mulia Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor.

Tambahan lagi, dua Pro-Canselor baharu turut dimasyhurkan iaitu Yang Amat Mulia Tunku Idris Iskandar Al-Haj Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Temenggong Johor serta Yang Berhormat Tan Sri Dato’ Dr Haji Azmi bin Rohani, Setiausaha Kerajaan Johor.

Selain pengisytiharan graduan diploma, Anugerah Akademik turut dikurniakan kepada graduan dalam istiadat tersebut.

Graduan-graduan yang dikurniakan anugerah berprestij tinggi tersebut ialah Saudari Nurul Iman binti Yusuf (graduan Diploma Teknologi Maklumat) yang dikurniakan Anugerah Canselor, Saudari Nurul Amila Diyanah binti Kamarul Bharin (graduan Diploma Teknologi Kejuruteraan Kimia) yang dikurniakan Anugerah Tan Sri Dato’ Paduka Hajjah Aishah Ghani dan Saudara Muhammad Khaidir Idham bin Yayah (graduan Diploma Kejuruteraan Mekanikal) yang dikurniakan Anugerah Akademik Yayasan UTHM.

Istiadat tersebut turut menyaksikan penyampaian skrol kepada waris-waris tujuh penerima anumerta, di mana dua daripadanya merupakan warga CeDS.

Mereka ialah Allahyarham Taufik Hidayat bin Mohd Rasul dan Allahyarham Muhammad Hafiz Azizi bin Muhaimin.

Semoga roh mereka berdua dicucuri rahmat dan ditempatkan bersama orang yang beriman.

Senarai penuh nama graduan adalah seperti yang telah tercatat dalam buku konvokesyen.

Rakaman istiadat boleh ditonton seperti di bawah.

Setinggi-tinggi tahniah diucapkan kepada para graduan!

Semoga terus sukses dan dipermudahkan perjalanan oleh Illahi dalam usaha mengapai segala apa yang dihajati, selain sentiasa diberi kekuatan mendepani cabaran sarwajagat.


Istiadat Konvokesyen Ke-22 UTHM