Skip to main content

Berita

CeDS Anjur Program Pengurusan Stress Bersama Universiti dari Indonesia

Oleh Encik Tuan Mohd Hafeez bin Tuan Ibrahim
22 Januari 2023, 7:08 am
CeDS Anjur Program Pengurusan Stress Bersama Universiti dari Indonesia

PAGOH: Seramai 53 orang pelajar tahun akhir Pusat Pengajian Diploma telah menyertai Program Pengurusan Stress dan Kaedah Berfikiran Positif di Kolej Kediaman Pagoh pada 18 hingga 19 Januari 2023.

Program ini adalah anjuran bersama antara UTHM dan Universitas Muhammadiyah Yogyakarya, Universitas Muhammadiyah Purwokerto dan Universitas Islam Negeri Raden Mas Said Surakarta, Indonesia.

Program ini merupakan program yang dirancang untuk melatih pelajar tahun akhir CeDS dalam menguruskan stress dengan dibimbing oleh pensyarah dalam bidang Psikologi Islam yang diketuai oleh Dr Fitriah M. Suud, dari Fakultas Pascasarjana, Psikologi Pendidikan Islam, Universitas Muhammadiyah Yogyakarya, Indonesia.

Melalui program ini, pelajar didedahkan tentang kepentingan pengurusan stress dan bagaimana untuk melihat potensi yang ada untuk memajukan diri sendiri ke arah yang lebih baik, bersesuaian dengan nama Program Pengurusan Stress dan Kaedah Berfikiran Positif.

Mahasiswa merupakan golongan yang mudah mendapat tekanan akibat penyesuaian pendidikan, sosial, persekitaran dan psikologi dalam suasana kampus.

Kajian menunjukkan bahawa pandemik Covid-19 menyebabkan semakin ramai mahasiswa yang terdedah kepada masalah stress sehingga mendatangkan kesan kepada pencapaian akademik, aktiviti kokurikulum dan peranan sebagai ahli masyarakat.

Oleh yang demikian, program ini telah berjaya dilaksanakan sebagai inisiatif daripada CeDS untuk memastikan pelajar sentiasa berada dalam keadaan stabil baik daripada segi emosi, fizikal dan juga sosial.

Aktiviti-aktiviti yang diadakan juga berjaya memupuk kesedaran tentang kepentingan pengurusan masa dan pemilihan kawan yang menjadi salah satu faktor stress khususnya dalam menyiapkan tugasan berkumpulan.

Menurut Dekan CeDS, Ts. Inv. Dr Mohd Shahir bin Yahya, perlaksanaan program sebegini sangat baik untuk pelajar dalam mendepani cabaran hidup di era pasca pandemik.

Pengurusan CeDS amat komited dalam memastikan pelajar sentiasa berada pada tahap emosi yang terbaik sepanjang tempoh pengajian mereka dalam usaha mencapai cita-cita yang diinginkan.

Pelajar juga mendapat pengetahuan dan latihan sebagai panduan dalam memantapkan lagi kemahiran pengurusan emosi serta membina keyakinan diri dalam berhadapan dengan cabaran dunia pekerjaan sebenar setelah bergraduan kelak.