Skip to main content

Berita

Bual Bicara Bersama Staf JSM Beri Pendedahan Awal kepada Pelajar Baharu DAK dan DAU

Oleh Dr Mohd Khairul Nizam bin Mohd Zuhan
28 Oktober 2023, 11:13 am
Bual Bicara Bersama Staf JSM Beri Pendedahan Awal kepada Pelajar Baharu DAK dan DAU

PAGOH: Bertempat di Auditorium 2, Hab Pendidikan Tinggi Pagoh, satu program bual bicara bersama pelajar tahun 1 program Diploma Teknologi Kejuruteraan Kimia (DAK) dan juga program Diploma Sains Gunaan (DAU) telah dianjurkan oleh Jabatan Sains dan Matematik (JSM), Pusat Pengajian Diploma (CeDS).

Program ini telah dihadiri oleh semua pelajar tahun 1 program DAK dan DAU termasuk para penasihat akademik dan kerjaya (PAK) serta pensyarah-pensyarah JSM.

Program dimulai dengan kata-kata aluan oleh pengacara majlis iaitu Dr Siti Samahani binti Suradi diikuti bacaan doa oleh Saudara Mohamad Shahrulazim bin Azmin yang merupakan pelajar tahun 3 program DAK.

Usai bacaan doa, program diteruskan lagi dengan taklimat pendidikan berasaskan hasil (OBE) yang diberikan oleh Puan Jamilah binti Mohd Ghazali iaitu selaku penyelaras OBE di JSM.

Sementara itu, program Kenali DAK dan DAU masing-masing disampaikan oleh Cik Nur Shahirah binti Mohd Aripen dan Puan Nuramirah binti Juma’at yang masing-masing merupakan ketua program bagi DAK dan DAU.

Secara umum, program taklimat ini adalah bertujuan bagi memberi pendedahan awal kepada para pelajar mengenai program yang dipelajari sepanjang tempoh pengajian serta syarat-syarat keperluan untuk pelajar yang berhasrat membuat pertukaran kredit sewaktu pengajian sarjana muda di UTHM mahupun universiti tempatan lain.

Taklimat berkaitan jabatan telah diberikan oleh Dr Dilaeleyana binti Abu Bakar Sidik selaku Ketua Jabatan, JSM.

Beliau telah memberikan pengenalan berkaitan program-program di JSM serta carta organisasi staf, taklimat berkaitan akreditasi program DAK dan DAU serta aktiviti-aktiviti yang telah dijalankan oleh JSM.

Program di akhiri dengan ucapan refleksi dari pengarah program iaitu Dr Norbaizura binti Nordin.

Dr Norbaizura mengingatkan semua pelajar baharu JSM menghargai peluang yang diberikan sebagai pelajar di UTHM.

Beliau juga turut memberi sokongan motivasi dan bimbingan kepada para pelajar.

Melalui program ini, diharapkan para pelajar dapat memperolehi satu wadah yang berguna untuk membawa kecemerlangan kepada mereka sepanjang tempoh pengajian mereka.