Skip to main content

Berita

Program SULAM Nature Hero 2024: Eco-Warriors Initiative

Oleh Puan Nor Baizura binti Hamid
25 Mei 2024, 11:21 pm
Program SULAM Nature Hero 2024: Eco-Warriors Initiative

PANCHOR: Pada 25 Mei 2024 (Sabtu), satu Program SULAM Nature Hero 2024: Eco-Warriors Initiative telah dijalankan di Kampung Melayu, Panchor, Muar, Johor. Seramai 48 orang pelajar tahun 1 Diploma Kejuruteraan Awam (DAA) (Seksyen 5 dan 6) dan 6 orang pensyarah pengiring dari Jabatan Kejuruteraan Awam, Pusat Pengajian Diploma (CeDS), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) bersama komuniti kampung telah menjayakan program ini. Pegawai daripada SWM Environment, Encik Muhamad Bakhtiar bin Azni, Eksekutif Kanan, Jabatan Komunikasi Korporat dan Hal Ehwal Kerajaan Wilayah Johor Utara dan 3 orang lagi wakil SWM Environment turut sama hadir memeriahkan program. Aktiviti bermula pada jam 8:30 pagi dimulai dengan ucapan aluan daripada Penasihat Program, Puan Nor Baizura binti Hamid. Kemudian, program diteruskan dengan taklimat daripada Encik Muhamad Bakhtiar tentang pengurusan sisa pepejal domestik dan kitar semula. Sesi penyerahan cenderamata dan sesi bergambar dijalankan sebelum pelajar diagihkan kepada aktiviti yang telah dirancangkan.

Pelajar dibahagikan kepada 4 kumpulan di mana kumpulan pertama akan bersama-sama dengan lori kitar semula SWM untuk bergerak dari rumah ke rumah penduduk kampung untuk membuat kutipan barang kitar semula. Kumpulan pelajar kedua dan ketiga akan melakukan kerja pembersihan di balai raya dan kawasan surau. Kumpulan pelajar keempat akan membantu komuniti kampung bersama-sama untuk memasak makanan tengah hari. Pihak SWM Environment memperkenalkan aplikasi KITARecycle yang diwujudkan untuk orang awam mendaftar dan mendapat mata ganjaran dalam bentuk tunai melalui penebusan secara dalam talian. Jadi orang awam akan mendapat mata ganjaran setiap kali melakukan kitar semula. Amalan ini adalah penting bagi menjaga alam sekitar untuk kegunaan generasi akan datang.

Tujuan program ini adalah untuk menerapkan kesedaran nilai-nilai murni dalam menghargai dan menjaga alam sekitar di kalangan generasi muda yang bakal menjadi pewaris negara. Selain itu, tujuan program juga adalah untuk menjalinkan hubungan kerjasama yang erat antara pelajar dan pihak-pihak yang terlibat dalam menjaga kelestarian alam sekitar.