Skip to main content

Berita

Lawatan Sambil Belajar ke PETRONAS Gas Berhad: Gas Transmission and Regasification

Oleh Dr Dilaeleyana binti Abu Bakar Sidik
13 Jun 2024, 11:55 pm
Lawatan Sambil Belajar ke PETRONAS Gas Berhad: Gas Transmission and Regasification

SEGAMAT: 13 Jun 2024 Program Lawatan Sambil Belajar ke PETRONAS Gas Berhad: Gas Trasmission and Regasification di Segamat, Johor telah dijalankan. Program anjuran Kumpulan Fokus Sustainable and Renewable Resource (SURE), Jabatan Sains dan Matematik (JSM), Pusat Pengajian Diploma (CeDS), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) dengan kerjasama PETRONAS Gas Trasmission and Regasification cawangan Segamat telah berjalan dengan sangat lancar dan teratur.

Seramai 32 pelajar Tahun 2 dari program Diploma Teknologi Kejuruteraan Kimia (DAK) dan 9 orang pengiring dari kalangan pensyarah telah mengikuti program secara bersemuka ini. Dengan kerjasama dan usaha daripada pihak PETRONAS, program ini dapat dijalankan dengan jayanya tanpa sebarang masalah. Terdapat 3 objektif utama dalam perlaksanaan program lawatan sambil belajar ini dan telah dicapai pada hari lawatan dijalankan.

Objektif pertama lawatan ini diadakan adalah untuk mengukuhkan kefahaman dalam kalangan para pelajar mengenai fungsi, mekanisme, dan kaedah pengendalian gas dalam industri di Malaysia. Pemilihan lokasi program lawatan ini adalah sangat bersesuaian untuk mempelajarinya memandangkan Syarikat PETRONAS Gas Berhad merupakan antara pengeluar utama gas di Malaysia.

Di samping itu, penganjuran lawatan sambil belajar ini juga telah menggalakkan dan membantu para mahasiswa/i dalam mengaplikasikan ilmu yang telah dipelajari di dalam kelas ke industri. Bukan sahaja ketika lawatan, namun setelah tamat lawatan pelajar juga dapat mengaplikasikannya secara teori dan amali melalui tugasan yang diberikan oleh pensyarah di universiti untuk meningkatkan kualiti tugasan.

Akhir sekali, dengan kehadiran para pelajar mengikuti lawatan ini, ia telah berjaya merapatkan serta meningkatkan lagi jaringan kerjasama akademik dan sosial antara pihak PETRONAS Gas Berhad, para pensyarah dan juga mahasiswa/i Universiti Tun Hussein Onn Malaysia. Dengan adanya penglibatan organisasi luar ini sekali gus dapat membantu dalam memperkenalkan lagi universiti kita kepada masyarakat luar.

Terdapat pelbagai kesan positif tambahan yang juga telah diperolehi hasil daripada program lawatan sambil belajar ini ke Gas Transmission and Regasification selain daripada impak objektif program. Antaranya ialah pendedahan dengan lebih mendalam mengenai cara Syarikat Minyak dan Gas terbesar di Malaysia, PETRONAS Gas Berhad ini bergerak dari segi pengurusan organisasi, tempat beroperasi, pengendalian masalah dan lain-lain dengan lebih terperinci lagi bukan sahaja kepada para pelajar namun pensyarah-pensyarah juga.

Selain itu, dengan kolaborasi bersama semua pihak, pelajar diploma dapat membuktikan keberhasilan diri serta dapat meningkatkan sifat kepimpinan dan kemahiran insaniah dalam diri masing-masing. Dengan menganjurkan program ini, kualiti seseorang mahasiswa dapat dibuktikan dengan segala tugasan dalam menjayakan program yang dianjurkan.


Lawatan Pelajar Diploma Teknologi Kejuruteraan Kimia ke PETRONAS Gas Berhad