Skip to main content

Berita

e3i 2024 Wadah Pamer Projek Diploma Kejuruteraan Elektrik Kepada Pihak Industri

Oleh Encik Mohd Faizal bin Mohamed Nor
24 Jun 2024, 2:39 pm
e3i 2024 Wadah Pamer Projek Diploma Kejuruteraan Elektrik Kepada Pihak Industri

PAGOH: Seramai 101 pelajar daripada program Diploma Kejuruteraan Elektrik dari Jabatan Kejuruteraan Elektrik, Pusat Pengajian Diploma (CeDS), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) telah menyertai Electrical Engineering Excellence Showcase 2024 (e3i 2024). Program ini telah berlangsung pada 24 Jun 2024 yang dihadiri oleh Timbalan-timbalan Dekan CeDS dan para pensyarah dari Jabatan Kejuruteraan Elektrik, CeDS. Majlis perasmian program ini telah diadakan di Dewan A9, Kolej Kediaman Kampus Pagoh (KKKP) dan telah disempurnakan oleh YBhg. Ts Dr Hazlini binti Dzinun selaku Timbalan Dekan (Pembangunan, Penyelidikan dan Penerbitan) CeDS, UTHM.

e3i 2024 merupakan program yang mempamerkan ilmu pengetahuan dalam bidang penyelidikan dan pembangunan yang telah dicapai oleh pelajar-pelajar Diploma Kejuruteraan Elektrik di UTHM. Program ini bertujuan untuk memberi peluang kepada pelajar-pelajar tersebut untuk memperlihatkan hasil kerja mereka kepada orang ramai serta mendapatkan pengiktirafan dan maklum balas daripada para pakar industri dan akademik.

Semasa program e3i 2024 berlangsung, Dewan A9, KKKP dipenuhi dengan pelbagai projek yang dipamerkan oleh pelajar-pelajar yang mengambil subjek Projek Diploma Kejuruteraan Elektrik 2. Setiap pelajar telah menghasilkan projek-projek inovatif yang berkaitan dengan bidang elektrik dan elektronik melibatkan sistem seperti internet pelbagai benda (IoT), kawalan elektronik dan teknologi hijau, Projek yang dihasilkan mempamer tahap kecemerlangan dalam mengaplikasikan ilmu dan kemahiran yang diterapkan sepanjang proses pembelajaran.

Pada sesi petang, projek inovasi pelajar terpilih telah dinilai oleh panel penilai industri dan akademik jemputan bagi memastikan projek pelajar mencapai tahap kualiti dan kecemerlangan selaras dengan kehendak industri. Para pelajar dapat mendengar maklum balas berharga daripada pihak industri dalam proses menambah baik produk inovasi mereka. Selain itu, pelajar dapat membina kemahiran insaniah yang lebih baik dalam proses tersebut.

Selain daripada aktiviti pameran inovasi pelajar, terdapat ceramah berkenaan The Institution of Engineers (IeM) yang telah disampaikan oleh Ir. Bong Beng Siong dari IeM Cawangan Selatan. Melalui ceramah tersebut, para pelajar mendapat pelbagai maklumat dan informasi terkini berkenaan IeM dan trend terkini dalam bidang kejuruteraan elektrik dan elektronik. Pihak IeM telah membuka reruai untuk para pelajar kejuruteraan dari semua bidang di UTHM Kampus Pagoh untuk mendaftar sebagai ahli IeM.

Di penghujung program, para pelajar telah dianugerah dengan pelbagai anugerah dan hadiah. Para jemputan dan pihak IeM telah menyampaikan anugerah kepada mereka yang berjaya. Diharap melalui program e3i ini dapat memberi pendedahan kepada pelajar untuk mengaplikasi ilmu dan pengetahuan kepada aplikasi dalam kehidupan seharian disamping dapat mempamerkan kecemerlangan pelajar dalam bidang penyelidikan dan inovasi.