Skip to main content

Berita

DipX: JSM 2024 Pupuk Pemikiran Kreatif dan Inovatif Dalam Kalangan Pelajar DAK dan DAU

Oleh Ts Nurul Izzati binti Mohd Ismail
01 Julai 2024, 3:39 pm
DipX: JSM 2024 Pupuk Pemikiran Kreatif dan Inovatif Dalam Kalangan Pelajar DAK dan DAU

PAGOH: Program pertandingan inovasi DipX: JSM 2024 dan Sehari Bersama Panel Penasihat Industri (IAP) yang berlangsung pada 23 Jun 2024 telah mencapai matlamatnya dengan kejayaan dalam memperlihatkan hasil-hasil inovasi dari pelajar dalam dua bidang iaitu Diploma Teknologi Kejuruteraan Kimia (DAK) dan Diploma Sains Gunaan (DAU). Objektif utama program ini adalah untuk mengaplikasikan teori-teori yang dipelajari dalam penghasilan produk inovatif untuk menyelesaikan masalah-masalah yang dihadapi dalam industri sebenar. Program ini juga bertujuan untuk memupuk pemikiran kreatif dan inovatif, serta mendorong pertukaran idea antara peserta dari latar belakang akademik dan industri. Melalui program ini, pelajar dapat menghasilkan idea-idea baru yang boleh memberi impak positif kepada perkembangan teknologi dan sains dalam industri serta masyarakat secara keseluruhan.

Hasil inovasi daripada 121 orang pelajar juga turut dinilai oleh dua orang wakil industri jemputan, iaitu Puan Nor Jannatun Adni binti Ibrahim dari Samtec Plating Sdn Bhd dan Encik Mohd Fadzil bin Hasbullah dari Sime Darby KKS Kempas. Penglibatan wakil industri dalam penilaian bertujuan untuk menyediakan pengalaman penilaian yang autentik kepada peserta, memberikan gambaran yang jelas tentang standard industri yang sebenar, serta memberi sokongan dan komen yang membina berdasarkan pengalaman industri sebenar. Melalui program ini juga, peserta dapat memahami kehendak dan trend dalam industri, serta mengembangkan kemahiran secara holistik dalam menghasilkan produk inovatif.

Program dilanjutkan dengan suatu sesi ceramah dan perkongsian bersama pemain industri jemputan. Sesi perkongsian ini diadakan untuk memperkenalkan kepada peserta peluang-peluang pengajian dalam bidang yang relevan dengan industri, serta untuk berkongsi strategi dan langkah-langkah praktikal untuk memasuki industri dan membangun kerjaya yang berjaya. Penceramah juga memberikan wawasan mengenai prospek masa depan industri, trend-trend yang mempengaruhi permintaan tenaga kerja, serta kepelbagaian peranan dan peluang kemajuan kerjaya dari peringkat pemula hingga profesional dalam alam pekerjaan. Penceramah juga menggalakkan peserta untuk mengembangkan sahsiah yang berorientasi masa depan dan fleksibel dalam menghadapi perubahan teknologi dan globalisasi agar dapat memastikan kemenjadian kebolehpasaran peserta lebih tinggi.

Program diakhiri dengan sesi penyampaian hadiah kepada para pemenang bagi program inovasi DipX: JSM dan sesi pertukaran cenderamata. Program pertandingan inovasi DipX: JSM 2024 dan Sehari Bersama IAP telah berakhir dengan kejayaan yang signifikan. Program ini bukan sekadar program pertandingan inovasi biasa, malah ianya adalah merupakan platform yang berkesan untuk kolaborasi dengan wakil industri yang berpengalaman dalam memberikan pandangan yang berharga tentang kehendak dan standard industri sebenar dari aspek penghasilan inovasi mahupun perkembangan kerjaya para peserta. Program ini juga dapat membina jaringan hubungan yang bermakna di antara akademia di Universiti Tun Hussein Onn Malaysia dan industri.


Pertandingan Inovasi DipX: JSM 2024 dan Sehari Bersama Panel Penasihat Industri (IAP)