Skip to main content

Berita

Young Talent Development Program: Port Equipment Technician Apprentice (PETech)

Oleh Puan Suhaila binti Sahat
23 Julai 2024, 10:28 am
Young Talent Development Program: Port Equipment Technician Apprentice (PETech)

PAGOH: Jawatankuasa Kebolehpasaran Graduan dan Alumni, Pusat Pengajian Diploma (CeDS), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) dengan kerjasama Pelabuhan Tanjung Pelepas Sdn Bhd (PTP) telah menganjurkan program Young Talent Development Program: Port Equipment Technician Apprentice (PETech). Program ini bertujuan untuk membuka peluang latihan industri dan kerjaya yang setara kepada pelajar diploma tahun akhir disamping dapat meningkatkan kualiti kebolehpasaran graduan UTHM di sektor industri pelabuhan. Program ini juga bertujuan untuk memberikan pendedahan kepada pelajar tentang proses temuduga di syarikat terkemuka. Program ini adalah sebuah program perantis yang melatih graduan dengan kemahiran teknikal dan asas kepimpinan yang utuh dalam menyediakan mereka sebagai Juruteknik Peralatan Pelabuhan yang kompeten di PTP. Program ini melibatkan 11 orang calon pelajar yang telah disenarai pendek untuk sesi temuduga. Calon pelajar tersebut terdiri dari pelajar tahun 2 dari 3 program kejuruteraan iaitu Program Diploma Kejuruteraan Mekanikal (DAM), Diploma Kejuruteraan Elektrik (DAE) dan Diploma Kejuruteraan Awam (DAA). Disamping itu, program ini turut melibatkan seramai 7 orang staf akademik CeDS yang bertindak sebagai Ahli Jawatankuasa program bagi melancarkan lagi perjalanan program.

Program dimulakan dengan sesi taklimat pengenalan program dari pihak PTP yang diwakili oleh Puan Rosliza binti Che Wahab selaku Pengurus Sumber Manuisa HCM Div. – Learning and Development, Pelabuhan Tanjung Pelepas. Program diteruskan dengan sesi penilaian calon dimana pelajar perlu menjawab beberapa soalan ujian secara dalam talian dalam tempoh masa yang ditetapkan. Calon yang berjaya dalam proses penilaian calon tersebut akan dipanggil untuk sesi seterusnya iaitu sesi temuduga. Pelajar yang terpilih dari sesi temuduga ini akan ditawarkan untuk memulakan program perantis mereka seiring dengan latihan industri pada bulan Ogos nanti. Oleh yang demikian, perkembangan kerjasama industri ini memberi input yang positif terhadap keberhasilan program akademik di CeDS. UTHM sentiasa komited dalam memastikan program akademik yang ditawarkan kekal relevan dan memenuhi permintaan semasa industri. Perlaksanaan program ini telah meningkatkan kualiti kebolehpasaran graduan sekali gus memberi impak positif terhadap keterlihatan graduan UTHM. Selain itu, ianya telah membuka peluang dan ruang kerjaya yang lebih baik kepada graduan diploma UTHM khususnya dalam sektor industri pelabuhan. Program diharap ini akan terus mengukuhkan lagi hubungan antara CeDS, UTHM dalam menyediakan platform penyediaan perintis-perintis bagi program anjuran pihak PTP di masa akan datang.