Skip to main content

Berita

UTHM dan MAHSA Perkukuh Hubungan Akademik: Lawatan Penanda Aras Buka Lembaran Baharu

Oleh Sr Nornajihah binti Mohammad Yazid
08 Mei 2025, 12:45 pm
UTHM dan MAHSA Perkukuh Hubungan Akademik: Lawatan Penanda Aras Buka Lembaran Baharu

PAGOH: Hubungan dua hala antara institusi pendidikan tinggi diterjemahkan dalam bentuk nyata apabila Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) melalui Jabatan Kejuruteraan Awam, Pusat Pengajian Diploma (CeDS) menerima kunjungan hormat delegasi penanda aras dari Fakulti Kejuruteraan, Alam Bina dan Teknologi Maklumat, Universiti MAHSA.

Delegasi yang diketuai oleh Ts Dr Mohamad Syazwan bin Shaharudin, selaku Ketua Delegasi dan Penyelaras Program, telah disambut penuh mesra oleh barisan staf Jabatan Kejuruteraan Awam, CeDS UTHM. Majlis dimulakan dengan kata-kata aluan oleh Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni CeDS, Dr Muhammad Azri bin Othman, yang mengalu-alukan kedatangan para tetamu dari MAHSA University.

Lawatan ini bukan sekadar kunjungan biasa, tetapi merupakan satu inisiatif strategik yang menfokuskan kepada pertukaran pandangan dan perbandingan pelaksanaan Program Diploma Kejuruteraan Awam, termasuk pengurusan Hasil Pembelajaran Program (PLO), pentaksiran projek akhir (FYP), latihan industri serta sistem pelaporan kualiti akademik.

Sesi perbincangan telah berlangsung dalam suasana profesional namun mesra, mencerminkan semangat kolaborasi dan kesediaan kedua-dua pihak untuk saling belajar dan berkembang. Selepas sesi pembentangan dan soal jawab, delegasi telah dibawa meninjau kemudahan makmal kejuruteraan CeDS, yang dilengkapi infrastruktur terkini dalam menyokong proses pengajaran dan pembelajaran. Lawatan ini memberikan gambaran menyeluruh terhadap komitmen CeDS dalam memastikan penyampaian akademik berkualiti tinggi.

Majlis diakhiri dengan sesi bergambar kenangan. Lawatan ini diharap menjadi titik mula kepada kerjasama berimpak tinggi antara CeDS, UTHM dan MAHSA University, sejajar dengan aspirasi pendidikan tinggi negara yang lebih dinamik dan berdaya saing.