Skip to main content

Berita

Bengkel Pemeriksa Luar Perkukuh Kualiti Program Diploma Kejuruteraan Awam di UTHM

Oleh Sr Nornajihah binti Mohammad Yazid, Ts Dr Aslila binti Abd Kadir
14 Mei 2025, 11:12 am
Bengkel Pemeriksa Luar Perkukuh Kualiti Program Diploma Kejuruteraan Awam di UTHM

PAGOH: Jabatan Kejuruteraan Awam, Pusat Pengajian Diploma (CeDS), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) telah menganjurkan Bengkel Pemeriksa Luar bagi Program Diploma Kejuruteraan Awam pada 13 dan 14 Mei 2025 bertempat di Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Kampus Cawangan Pagoh.

Bengkel ini bertujuan mendapatkan maklum balas, pandangan profesional dan penilaian menyeluruh berkaitan pelaksanaan kurikulum serta pendekatan Outcome Based Education (OBE) yang diguna pakai dalam program tersebut. Inisiatif ini turut menjadi platform penting dalam memastikan kualiti program diploma sentiasa relevan, berdaya saing dan menepati piawaian akreditasi semasa.

Bengkel ini telah dirasmikan oleh Dekan CeDS, Dr Muhammad Faizal bin Ismail dan melibatkan penyertaan daripada staf akademik Jabatan Kejuruteraan Awam, penyelaras program, serta pentadbir akademik CeDS. Turut hadir ialah Pemeriksa Luar yang baharu dilantik, Prof. Madya Ir Dr Norazura binti Muhamad Bunnori, yang memulakan khidmat rasmi pada Februari 2025. Lawatan ini merupakan kunjungan rasmi pertama beliau sebagai Pemeriksa Luar bagi program berkenaan.

Bengkel ini berperanan sebagai platform penting dalam memperkukuh kualiti Program Diploma Kejuruteraan Awam menerusi perbincangan terbuka antara warga akademik dan Pemeriksa Luar. Pelbagai aspek telah diteliti, termasuk struktur kurikulum, keberkesanan pelaksanaan pendekatan Outcome Based Education (OBE), serta cadangan penambahbaikan bagi memastikan program kekal relevan, kompetitif dan selari dengan keperluan semasa industri. Sesi dialog terbuka antara staf akademik dan Pemeriksa Luar menjadi medan strategik dalam memperkukuh kualiti program dan meningkatkan kebolehpasaran graduan.

Penganjuran bengkel pemeriksa luar program Diploma Kejuruteraan Awam ini mencerminkan komitmen berterusan dalam menilai serta menambah baik kualiti akademik demi melahirkan graduan yang kompeten, berkualiti, dan bersedia menghadapi cabaran industri serta menyumbang kepada pembangunan negara.