Skip to main content

Berita

Pelajar Pusat Pengajian Diploma UTHM Serlahkan Bakat Seni Catan Dalam MR. DIY Art Competition 2025

Oleh Encik Mokhtar bin Yahya
23 Mei 2025, 12:42 pm
Pelajar Pusat Pengajian Diploma UTHM Serlahkan Bakat Seni Catan Dalam MR. DIY Art Competition 2025

KUALA LUMPUR: Tiga pelajar dari program Diploma Teknologi Animasi, Jabatan Teknologi Maklumat, Pusat Pengajian Diploma (CeDS), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), telah mengharumkan nama UTHM apabila berjaya meraih anugerah dalam MR. DIY Art Competition 2025 yang bertemakan Identity and Diversity.

Objektif pertandingan ini bertujuan untuk menggalakkan penghargaan terhadap karya seni catan tempatan dan menyediakan platform kepada bakat baharu bagi menampilkan hasil karya mereka. Tema tahun ini, Identity and Diversity, mengajak peserta untuk menghasilkan karya seni yang menggambarkan kepelbagaian identiti masyarakat secara kreatif dan bermakna.

Majlis penyampaian hadiah telah berlangsung pada 23 Mei 2025, bertempat di KEN Gallery, Taman Tun Dr Ismail (TTDI), Kuala Lumpur. Majlis tersebut telah meraikan seramai 41 artis berbakat dalam bidang seni catan, dan hadiah telah disampaikan oleh pihak Yayasan MR. DIY.

Pelajar UTHM, Muhammad Hariz bin Mohd Najib (karya Jejak Perpaduan), telah menerima Creative Artist Award dengan membawa pulang wang tunai sebanyak RM4 000. Manakala dua lagi pelajar, Ainin Sofiya binti Saharuddin (karya Jiwa) dan Mohammad Yasin bin Mohd Salleh (karya The Birds of Malaysia), masing-masing menerima Spotlight Award dengan hadiah tunai RM3 000 setiap seorang. Karya-karya mereka merupakan hasil daripada projek akhir kursus Asas Seni Lukis dan Seni Reka, di bawah bimbingan pensyarah Encik Mokhtar bin Yahya.

Majlis ini turut diserikan dengan kehadiran Dekan CeDS, Dr Muhammad Faizal bin Ismail, serta Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Prof. Ts Dr Rabiah binti Ahmad. Kehadiran mereka mencerminkan sokongan berterusan terhadap pencapaian pelajar serta hasrat untuk menjalinkan kerjasama dua hala bersama Yayasan MR. DIY pada masa akan datang.