Skip to main content

Berita

Pelajar DAM Sertai Program Pendidikan, Inovasi dan Kemahiran Malaysia-Jepun

Oleh Puan Ziana binti Che Ros
10 Mac 2023, 4:23 pm
Pelajar DAM Sertai Program Pendidikan, Inovasi dan Kemahiran Malaysia-Jepun

AYER KEROH: Pelajar Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) dan Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) telah menganjurkan satu program kerjasama dengan beberapa buah universiti dari Jepun iaitu Okayama Prefectural University (OPU) dan Tokushima University (TU).

Program 9th TMAC Design Workshop 2023 ini merupakan program tahunan yang diadakan bertujuan untuk menjana minda cerdas para pelajar tentang pendidikan, inovasi dan kemahiran pelajar dari Malaysia dan Jepun.

Seramai lima pelajar Diploma Kejuruteraan Mekanikal (DAM) telah terlibat di dalam program tersebut iaitu Saudari Khadijah binti Othman, Saudari Auni Nabihah binti Azli, Saudari Afifah Ayunni binti Yazeed, Saudari Siti Alya Qistina binti Sheikh Hamadi dan Saudara Azalika bin Khairuddin.

Selain itu, program 9th TMAC Design Workshop 2023 yang diadakan kali ini bukan sahaja melibatkan pelajar dari UTHM, UTeM dan TU, malah turut melibatkan pelajar dari OPU buat kali pertamanya.

Peserta daripada UTHM telah menyertai beberapa aktiviti secara dalam talian iaitu pendedahan berkaitan SOLIDWORKS, merangka projek menggunakan LEGO MINDSTORMS dan perkongsian budaya di antara dua negara.

Tambahan lagi, program ini akan mendedahkan pelajar UTHM dan UTeM kepada budaya-budaya murni serta amalan-amalan terbaik masyarakat Jepun melalui interaksi bersama pelajar Jepun.

Di samping itu, program 9th TMAC Design Workshop 2023 ini juga diadakan untuk menjaga hubungan baik antara dua buah negara iaitu Malaysia dan Jepun dalam lawatan pelajar TU, OPU dan UTHM ke UTeM.

Program telah berlangsung dengan pelbagai aktiviti yang padat bermula daripada 22 Februari sehingga 7 Mac 2023.

Ianya merupakan satu perkongsian ilmu dan kemahiran yang dapat memperkasakan kemahiran insaniah dalam kalangan semua peserta yang terlibat dan sekali gus dapat membina jaringan sosial secara positif dan global.